WASHINGTON, 24 Oktober 2026 — Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio menyeru rakyat Cuba yang mahukan perubahan supaya bekerjasama secara sulit dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA), ketika Washington meningkatkan tekanan terhadap Havana.
Seruan itu dibuat menerusi hantaran media sosial pada Jumaat yang ditujukan kepada mereka yang mahu mewujudkan perubahan positif di Cuba.
“Kepada mereka yang mahu mewujudkan perubahan positif di Cuba, sekaranglah masanya,” kata Rubio menerusi hantaran di akaun rasminya.
Beliau turut menggesa mereka merebut peluang untuk mencapai perubahan melalui kerjasama sulit dengan CIA, dengan merujuk kekecewaan terhadap janji yang gagal ditunaikan, rasuah dan keistimewaan yang dinikmati segelintir pihak.
Menurut Reuters, Rubio tidak memperincikan bentuk kerjasama dengan agensi perisikan itu.
Trump bangkitkan kemungkinan kapal perang singgah dekat Cuba
Pada hari sama, Presiden AS, Donald Trump membangkitkan kemungkinan kapal perang negaranya singgah berhampiran Cuba ketika pulang daripada operasi berkaitan konflik Iran.
Trump mengemukakan cadangan itu ketika menjawab pertanyaan daripada hadirin pada perhimpunan kempen di Fort Myers, Florida. Beliau turut menyebut Rubio akan dihantar bagi menyelesaikan urusan berkenaan, lapor Anadolu.
Associated Press melaporkan pentadbiran Trump sebelum ini mengadakan pertemuan dengan pegawai Cuba untuk meneroka kemungkinan memperbaiki hubungan. Namun, pegawai AS dilaporkan tidak berpuas hati dengan kemajuan rundingan, diikuti pengenaan sekatan tambahan.
Sebelum ini, hubungan kedua-dua negara turut tegang menjelang undian tahunan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai resolusi yang menyeru penamatan embargo ekonomi AS terhadap Cuba.
Menteri Luar Cuba, Bruno Rodriguez pada Rabu menuduh Washington menekan negara anggota supaya menentang resolusi berkenaan, termasuk menerusi ancaman sekatan dan tindakan ekonomi. Jabatan Negara AS ketika laporan itu diterbitkan belum memberikan respons segera terhadap tuduhan tersebut.
Undian berkenaan dijadualkan pada 27 hingga 28 Oktober.










