SINGAPURA, 26 Oktober 2026 — Malaysia menyeru negara Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) menterjemahkan aspirasi mewujudkan grid tenaga serantau kepada tindakan yang lebih konkrit.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kesalinghubungan tenaga ialah jaringan strategik yang menyokong keselamatan serta kemakmuran serantau.
“Kita mempunyai visi dan rakan kerjasama. Apa yang diperlukan sekarang ialah kesungguhan untuk bertindak bersama,” kata Fadillah dipetik dari Bernama.
Beliau menyampaikan ucaptama peringkat menteri pada Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura 2026 pada Isnin.
Fadillah berkata, Projek Integrasi Tenaga Laos–Thailand–Malaysia–Singapura membuktikan perdagangan elektrik pelbagai hala antara negara anggota boleh dilaksanakan.
Menurutnya, rangkaian yang saling berhubung meningkatkan kecekapan dan integrasi tenaga boleh baharu ketika keadaan stabil, serta menyediakan pilihan dan fleksibiliti apabila berlaku gangguan.
Sebelum ini, Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-44 di Manila menegaskan semula komitmen memperkukuh kesalinghubungan tenaga serantau.
Fadillah berkata, Malaysia akan mempercepat peralihan tenaga domestik serta mempererat kerjasama dengan Singapura, negara jiran dan rakan antarabangsa. Sistem yang lebih pelbagai dan fleksibel, katanya, dapat memperkukuh integrasi rantau ini.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
ASEAN bincang keselamatan tenaga ketika perang Iran ganggu bekalan










