SINGAPURA, 25 Oktober 2026 — Singapura menjangkakan semua pihak menghormati kontrak bekalan gas selepas Indonesia mula mengurangkan eksport ke negara itu pada Sabtu.
Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong berkata, pengimport gas negara itu akan mengambil langkah yang diperlukan untuk melindungi hak dan kepentingannya di bawah perjanjian berkenaan.
“Bekalan gas itu tertakluk kepada kontrak komersial. Kami menjangkakan semua pihak menunaikan komitmen mereka,” kata Wong dipetik dari CNA.
Beliau menyampaikan kenyataan itu ketika Konvensyen Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Ahad, sehari selepas pengurangan eksport gas Indonesia bermula.
Wong berkata, Singapura sudah membuat persediaan menghadapi risiko gangguan bekalan melalui pelaburan dalam terminal gas asli cecair (LNG).
Kemudahan itu membolehkan gas diperoleh daripada pelbagai negara tanpa bergantung sepenuhnya pada saluran paip, sekali gus menyediakan lebih banyak pilihan ketika berlaku gangguan.
Beliau turut menyatakan keperluan meneroka sumber tenaga lebih bersih yang mampu membekalkan elektrik secara berterusan, termasuk mengkaji potensi tenaga nuklear dengan mengutamakan keselamatan, menurut BERITA Mediacorp.
Sebelum ini, Indonesia mula mengurangkan penghantaran gas ke Singapura bagi menyalurkan lebih banyak bekalan kepada sektor penjanaan elektrik domestik.
Menurut Reuters, pengurangan yang diumumkan pengawal selia huluan minyak dan gas Indonesia, SKK Migas, membabitkan kira-kira sembilan peratus eksport gas melalui paip ke Singapura.
Sementara itu, Penguasa Pasaran Tenaga Singapura (EMA) menyatakan pengurangan bekalan yang dimaklumkan kepada pengimport negara itu bersamaan kurang dua peratus daripada keseluruhan permintaan gas hariannya, menurut CNA.
Artikel Berkaitan Terdahulu:










